Assalamualaikum.

Penghijrahan diri ke jalan yang lurus adalah suatu perjalanan dalam usaha mengatasi masalah homoseksualiti. Perjalanan ini adalah perjuangan seorang Muslim dalam menuju Siratul Mustaqeem atau jalan yang lurus, jalan yang benar, jalan yang membawa kepada  penyerahan sepenuhnya kepada kehendak Allah, jalan di mana seorang yang beriman akan menempuh segala kesukaran namun tetap teguh untuk memperolehi rahmat dan kasih sayang Penciptanya. Homoseksualiti adalah satu ujian atau dugaan ke atas kita. Sekiranya kita terjebak melakukan perkara tersebut maka kita telah melakukan dosa. Semoga Allah mengampuni kezaliman yang telah kita lakukan. Namun buat mereka yang kehilangan harapan dan buntu untuk mencari jalan keluar, kita tidak boleh terus kehilangan iman. Allah sentiasa melimpahkan rahmat-Nya yang tidak terhingga kepada setiap hamba-hambaNya dan menghendaki agar kita sentiasa memohon keampunan dan meneruskan perjalanan menuju Siratul Mustaqeem, Allah menjanjikan kita kejayaan; apa yang perlu kita lakukan adalah taat dan percaya kepadaNya.

Penghijrahan ini walau secara lahiriahnya adalah suatu perjalanan yang senyap namun secara batiniah, kegawatan yang melanda jiwa hanya dapat didengari oleh Allah dan individu yang memikul beban dosa yang ditanggungnya. Penyelamatan jiwa hanya datang dari usaha untuk mewujudkan semula hubungan ketaatan dan kepercayaan kita kepada Allah. Ianya adalah hubungan yang sangat bersifat peribadi di mana kita berhubung terus dengan Allah dan bersyukur bahawa Dia telah melindungi keaiban dosa-dosa kita. Walau secara zahirnya ia tampak seperti perjalanan diri yang senyap; namun kita akan sentiasa menempuh jalan-Nya sambil membicarakan tentang perkara yang berkait rapat dengan ibadat rohaniah dan taubat, seterusnya membawa kita kepada ketenangan jiwa apabila kita mula menghayati keindahan Allah sebagai Tuhan dan Pencipta, Tuhan semesta alam, yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selagi kita mengambil langkah yang sewajarnya untuk  mengatasi dosa ini, Allah pasti memberikan kita jalan penyelesaian seperti yang dijanjikan-Nya. Maha Suci Allah.

Selamat datang ke perjalanan ini yang paling indah, Insya Allah anda akan mendapat manfaat dengan mempelajari bagaimana untuk mengambil langkah pertama mengikut halatuju yang betul demi mencapai kejayaan sebenar di dunia dan di akhirat. Ketahuilah bahawa Allah telah memberi kuasa kepada anda dengan keupayaan untuk membuat pilihan, apa yang perlu anda lakukan adalah membuat pilihan yang tepat. Allah tidak membebankan seseorang lebih dari apa yang mampu dipikulnya. Anda adalah orang yang mengawal tindakan anda dan anda mempunyai kekuatan untuk menghadapi apa sahaja rintangan yang datang. Anda boleh mengatasi penyakit ini dan mencapai kejayaan.

Buku ini adalah sumbangan saya buat mereka yang bergelut dengan nafsu kejahatan yang telah beraja begitu lama .. Dosa tubuh badan .. Dosa kepuasan seksual terlarang. Insya Allah saya akan memberikan sedikit pandangan dan panduan berdasarkan pengalaman diri saya sebagai kajian kes; tentang bagaimana saya berhadapan dengan beberapa perkara yang merangsang saya untuk melakukan dosa ini dan bagaimana saya menanggung beban perbuatan silam saya kerana telah melakukan dosa seks sejenis.

Saya mendapat inspirasi untuk menulis buku ini apabila saya melayari internet untuk mencari jalan keluar dari dosa homoseksualiti. Saya mendapati bahawa walaupun terdapat banyak artikel, kumpulan dan forum yang membincangkan tentang perkara ini namun tidak terdapat sumber rujukan Islam yang membicarakan tentang dosa ini secara khusus. Saya juga mendapati bahawa terdapat banyak laman web dan laman psikologi Kristian yang membicarakan tentang hubungan seks sejenis namun tiada satu sumber pun yang memberikan panduan khusus tentang apa yang perlu dilakukan, dan sesetengah sumber yang mendakwa bahawa mereka boleh membantu kebiasaannya mengenakan bayaran untuk mendapat akses kepada bahan-bahan mereka. Walaupun saya mampu untuk membayar akses tersebut, sumber-sumber ini masih tidak memenuhi kriteria saya atau memenuhi keperluan saya berdasarkan pegangan agama yang saya ikuti iaitu Islam.

Jadi dengan inisiatif sendiri, saya mula mengumpul petikan dan coretan daripada pelbagai laman web yang menyediakan pandangan Islam mengenai homoseksualiti; kebanyakannya terdiri daripada jawapan para ulama kepada individu lain yang telah mengemukakan soalan berkaitan perkara ini di forum-forum perbincangan.

Pencarian saya seterusnya menemukan saya kepada prinsip-prinsip Islam dan penulisan ilmiah berhubung dengan 'nafsu' atau ego, saya kemudiannya mula mempelajari tentang kesan nafsu kepada hati dan bagaimana hati sebagai entiti spiritual 'boleh menjadi berpenyakit. Saya telah membaca banyak buku, artikel, transkrip kuliah dan mendengar ceramah audio untuk menghubungkan kemahiran  dan pengetahuan yang saya perlukan untuk membebaskan diri  dari belenggu dosa.

Saya bukanlah seorang ulama, tetapi setelah mengkaji penulisan ilmiah dan prinsip-prinsip psikologi Islam saya mula memahami tentang teori-teori Islam berkenaan perubahan tingkah laku. Saya memberi tumpuan kepada teori-teori Islam kerana psikologi Barat seolah-olah begitu terbatas apabila membincangkan subjek tabu ini. Sedangkan teori-teori Islam membicarakannya dengan asas yang begitu kukuh dalam menggunakan logik dan mencari motivasi melalui sumber yang lebih tinggi; iaitu Allah. Penemuan ini begitu menarik perhatian saya kerana ia juga memberi penjelasan kepada punca dosa ini. Saya segera menyedari bahawa jawapan kepada masalah saya selama ini ada di sekitar saya, saya hanya perlu mengaitkannya dalam konteks saya sendiri ...Maka lahirlah buku ini.

Saya telah menyusun segala idea dan prinsip Islam yang saya pelajari mengikut susunan yang logik dan mulakan penghijrahan. Saya menulis buku ini menurut konteks homoseksualiti sebagai sumber rujukan yang lebih fokus bagi membantu orang lain agar dapat turut sama meninggalkan dosa ini.

Saya juga mengemukakan beberapa cadangan, idea, penjelasan dan tafsiran berdasarkan pengalaman sendiri menggunakan kaedah yang terkandung di dalam ini. Saya cuba mengekalkan penjelasan dalam bahasa yang mudah difahami untuk mereka yang sedang mencari penyelesaian praktikal dalam mengatasi masalah homoseksualiti.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penulis dan penceramah di atas sumber dan maklumat mereka yang telah saya gunakan, namun kemaafan saya pohon daripada pihak saya kerana tidak dapat menyenaraikan material mereka sebagai rujukan kerana tiada sebarang nota rujukan yang dibuat. Semoga Allah merahmati mereka semua.

Buku ini bukan sebuah penulisan terapi atau psikoterapi reparatif, ia adalah satu pendekatan akal berdasarkan kesedaran diri, jiwa dan perubahan tingkah laku dengan cara memahami dan menghayati keindahan dan rahmat Allah.

Penulisan ini meminjam daripada pelbagai sumber dalam usaha penulis menyediakan strategi yang kukuh dan praktikal untuk mencapai kejayaan melalui Iman (kepercayaan kepada Allah). Ia adalah bentuk terapi sedia ada yang paling mudah, tinggi dan berkesan.

Saya menulis buku ini bukan kerana ingin meraih keuntungan dan pengiktirafan tetapi semata-mata ingin mencari keredhaan Allah dan memberi manfaat kepada mereka yang masih tercari-cari jawapan dalam perjuangan mereka terhadap tarikan hubungan sama jantina.

Ambillah mana-mana bahagian dalam buku ini sama ada secara keseluruhan atau sebahagian daripadanya dan manfaatkanlah untuk mencapai perubahan positif dalam hidup anda. Adalah amat dialu-alukan sekiranya buku ini dapat dikongsikan bersama sesiapa atau diedarkan ke mana-mana sahaja, dimuat naik ke mana-mana laman web atau forum yang anda rasakan dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Cuma satu permintaan kecil daripada saya sebagai balasan untuk buku ini; hanyalah bingkisan doa untuk diri saya, diri anda dan juga insan lain. Sekiranya anda merasakan telah mempelajari sesuatu atau mendapat manfaat daripada buku ini, usahakanlah cara untuk berkongsi apa sahaja yang telah anda pelajari dari penulisan ini. Tidak dibenarkan meletakkan nama anda pada buku ini atau meraih kredit atau mengaut keuntungan dari hasil penulisan ini, atau mendakwa ianya adalah hasil kerja anda sendiri. Buku ini adalah semata-mata untuk manfaat orang lain demi membantu mereka yang ingin membuat penghijrahan diri.

Semoga Allah memberkati kita dengan rahmat dan kasih-Nya, memudahkan penghijrahan yang kita usahakan, memberikan kita kejayaan di dunia dan akhirat, dan membebaskan kita dari kesengsaraan dan kesusahan ujian-Nya. Semoga Allah menundukkan nafsu kita agar mudah buat kami menempuh jalan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Moga Allah mengurniakan kami Jannah, dan kedudukan yang dekat dengan-Nya di akhirat kelak. Semoga Allah menerima hasil penulisan buku ini sebagai sedekah daripada saya dan semua pihak yang mana sumber rujukan mereka telah saya gunakan dalam menghasilkan buku ini, juga buat mereka yang sudi berkongsi buku ini dengan orang lain.

Aamiin.